STATISTIK menunjukkan di Barat hampir 90
peratus rumah tangga berantakan kerana tidak mengikut acuan yang telah
ditetapkan Allah SWT.
Tidak mustahil fenomena tersebut berlaku
di negara ini apabila makin ramai yang membina rumah tangga dengan
hanya mengikut nafsu dan tidak berlandaskan syariat Islam yang
sebenarnya.
Sebenarnya senario semakin membimbangkan
ini telahpun dibuktikan dengan jumlah kes perceraian yang dilaporkan
meningkat hari demi hari. Malah mengikut purata yang dikeluarkan oleh
Jabatan Kefahaman Islam Malaysia (Jakim) seramai 77 pasangan Islam
bercerai setiap hari.
Jumlah perceraian yang boleh
dikategorikan kritikal ini mendorong penceramah motivasi terkenal Datuk
Siti Nor Bahyah Mahamood dan suaminya, Wan Akashah Wan Abdullah
berkongsi asas-asas untuk membina rumah tangga bahagia bersempena
ceramah yang dianjurkan oleh Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan.
Asas 1
Menurut Siti Nor Bahyah, setiap pasangan yang berkahwin harus menetapkan matlamat mereka iaitu kebahagiaan di dunia dan akhirat. Hanya
iman dan takwa boleh membawa pasangan ke syurga untuk mendapatkan
kebahagiaan yang abadi. Uji diri adakah kita telah menjalani tanggung
jawab sebagai Muslim. Keluar rumah menuju ke pejabat apakah niatnya?
Bagi isteri, jangan salah guna keizinan
bekerja yang suami telah beri. Elakkan makan berdua dengan lelaki bukan
muhrim begitu juga dengan lelaki. Masing-masing perlu perkukuh iman dan
kepercayaan yang telah diberikan, barulah rumah tangga ada asasnya.
Menurutnya, tip dari nabi SAW untuk
menjaga kesetiaan ialah jangan sesekali suami atau isteri mendengar
rintihan dari rakan yang berlainan jantina dari mereka.
"Ujian datang dalam bentuk kesenangan
dan juga kesusahan, jadi kalau iman kita lemah kita pasti akan kalah,
untuk menguatkan iman di pejabat, pastikan kita berjemaah di surau
pejabat dan isi masa dengan membaca al-Quran," tambah Wan Akashah pula.
Asas 2
Perlu ada kasih sayang, cinta dan rindu.
"Sedihnya dua elemen ini sering berlaku
pada zaman bercinta sahaja. Nabi SAW berpesan, kalau kita sayangkan
seseorang mesti ditunjukkan dengan kata-kata dan perbuatan. Jadi jika
ada suami yang mengatakan 'abang sayang, cuma tak tunjuk saja' maka itu
tidak patut, kerana nabi ajar suruh tunjuk," tambah Siti Nor Bahyah
pula.
Sebagai ibu, haruslah memanggil anak
dengan penuh kasih sayang dan panggilan yang baik-baik kerana setiap
patah perkataan yang keluar dari mulut ibu adalah doa.
"Nabi sendiri pun menunjukkan kasih
sayangnya dengan berbaring di atas paha Saidatina Khadijah, jadi mengapa
perlu suami sekarang tidak mengikuti perlakuan Rasulullah kalau itu
yang menggembirakan hati isteri," ujar Siti Nor Bahyah.
Asas 3
Contohi akhlak Nabi Muhammad SAW,
jagalah adab suami isteri serta tingkah laku masing-masing. Setiap dari
anggota yang Allah kurniakan seperti mata, mulut dan hidung semuanya
perlu dijaga.
Kata Wan Akashah, isteri mesti memastikan suami makan dari masakannya supaya berkat.
"Sebab itu ustaz sendiri pun makan
masakan yang ibu dan isteri masak. Dari situ makanan yang dimakan itu
diyakini kebersihannya, apa yang dimakan menjadi darah daging untuk
membentuk insan yang berakhlak mulia," jelasnya.
Asas 4
Tegas Siti Nor Bahyah, amanah dan tanggung jawab perlu dipikul sehabis baik oleh setiap pasangan. Dalam keadaan ekonomi sekarang, ramai pasangan yang secara tidak sengaja mengabaikan masa bersama pasangan atau anak-anak.
"Anak adalah amanah, sebaiknya kita
menjaga anak kita sendiri dan tidak perlu menyerahkan tugas tersebut
kepada pembantu rumah atau hantar ke pusat jagaan. Kalau pakai pembantu
janganlah pula kita membiarkan pembantu mengambil peranan kita sebagai
isteri," tambahnya.
Asas 5
Setiap suami atau isteri mesti pastikan rezeki yang mereka perolehi adalah halal dan diberkati.
"Biar sedikit tapi mencukupi. Keberkatan
itu amat penting. Apabila kita bersembahyang kita pasti akan mendapat
ketenangannya. Begitu juga dengan kewajipan berzakat yang apabila kita
tunaikan pasti kita akan tenang kerana mengikut suruhan Allah," ujar
Siti Nor Bahyah.
Asas 6
Pesanan yang paling penting ialah berbuat baiklah kepada ibu dan bapa.
"Apabila kita sebagai anak berbuat baik kepada ibu bapa kita,
Insya-Allah anak-anak kita akan baik kepada kita dan rumah tangga kita
pasti bahagia," ujarnya.
- UTUSAN, 1 November 2011
No comments:
Post a Comment