SKIM AMANAH RAKYAT 1MALAYSIA (SARA 1MALAYSIA) DIBUKA MULAI 30 JANUARI 2012 | Permohonan untuk SARA 1Malaysia akan dibuka mulai 30 Januari 2012 dan layak untuk pemohon dengan pendapatan kasar antara RM500 hingga RM3,000 sebulan. Skim berkenaan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini. Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.
Melalui SARA 1Malaysia, mereka yang berkelayakan akan berpeluang memohon pinjaman berjumlah RM5,000 untuk melabur dalam Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia) dan akan menerima bayaran insentif yang menarik ke atas tabungan dan pelaburan yang dibuat. Melalui skim ini, insentif bulanan akan dibayar kepada peserta dalam bentuk unit tambahan AS 1Malaysia dan pelabur hanya perlu menjelaskan bayaran balik bulanan yang minimum selama lima tahun.
Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1Malaysia) akan diuruskan oleh syarikat tujuan khas (SPV), Malaysian Development Holdings Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan. Syarikat tujuan khas tersebut akan menjamin pelabur SARA 1Malaysia, skim khas untuk menggalakkan penyertaan golongan berpendapatan rendah menabung dan melabur. Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata jumlah pembiayaan yang ditawarkan adalah RM500 juta dengan sasaran penyertaan seramai 100,000 isi rumah.
No comments:
Post a Comment